Salam....
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, Hari Keluarga untuk tahun 2009 telah berlangsung dengan jayanya berkat kerjasama dan perpaduan warga Malaysia di bumi Nizhny ini. Tahniah diucapkan kepada Project Manager, Abdul Halim Bin Abu Bakar kerana dengan usaha gigihnya, program ini dapat dijalankan. Tidak lupa juga ucapan penghargaan kepada dua buah persatuan penting Nizhny .
Seperti yang dirancang, semua peserta program yang terdiri daripada pelbagai kaum berkumpul di pekarangan hostel 3. Setelah mendengar taklimat dan menyanyi beberapa buah lagu, perjalanan menuju ke lokasi program iaitu di tepi tasik Hutan Simpan Nizhny Novgorod dimulakan. Perjalanan ke sana mengambil masa dalam setengah jam.
Setibanya di sana, kaum Hawa dan kaum Adam dipisahkan mengikut kumpulan masing-masing. Semua peserta bertungkus lumus untuk menghidupkan bara api untuk membakar ayam masing-masing. Kerja menghidupkan api memerlukan kerjasama daripada semua ahli kumpulan. Sementara itu, setiap kumpulan diminta untuk mencipta satu bunyi serta menghantar beberapa wakil untuk bertanding dalam permainan-permainan yang dipertandingkan. Untuk perempuan, permainan yang dipertandingkan ialah mak mencari anak,kutip getah dalam tepung, susun selipar, kail tin kosong, laskar setia dan battle royal. Dalam acara mak mencari anak, seorang peserta yang berperanan sebagai ibu ditutup matanya dengan kain dan dikehendaki mencari anak-anaknya. Dalam pada masa yang sama, anak-anak pula akan memanggil ibu masing-masing dengan hanya mengeluarkan bunyi-bunyi benda. Contohnya, bunyi-bunyi binatang. Ibu yang berjaya mendapatkan anak-anaknya dalam masa yang singkat dikira sebagai pemenang. Pemenang bagi acara ini ialah kumpulan 5.
Enam orang peserta mewakili setiap kumpulan dalam acara cari getah dalam tepung. Dalam acara ini, peserta-peserta membawa sebatang lidi menggunakan mulut tanpa bantuan tangan dan berusaha mendapatkan seberapa banyak getah yang mungkin. Setelah itu, getah-getah tersebut perlu di serahkan kepada peserta lain. Persaingan memang agak sengit, namun kumpulan 5 telah mendominasi permainan dengan menang tipis kepada pihak lawan.
Permainan seterusnya ialah menyusun selipar atau pada asalnya dikenali sebagai permainan kayu tiga. Satu kumpulan berperanan menjatuhkan susunan selipar dengan menggunakan selipar. Setelah susunan tersebut jatuh, pihak lawan akan berusaha membunuh mereka dengan membaling selipar ke arah mereka. Dalam masa yang sama, kumpulan yang menjatuhkan selipar tadi perlu membina semula susunan selipar seperti pada awalnya. Jika mereka berjaya menyusunnya kembali, mereka akan memenangi pertandingan. Dalam permainan ini, kumpulan yang menjuarainya ialah kumpulan 2.
Bagi acara kail tin kosong pula, para peserta diminta mengail 10 tin kosong dengan menggunakan tali yang diikat dengan lidi dihujungnya. Setiap kumpulan dibekalkan dengan dua kail dan ahli-ahli kumpulan bergilir-gilir mengail tin. Kumpulan yang terpantas mengail kesemua tin dikira sebagai pemenang. Acara ini amat mencabar kerana kehadiran angin petang menyulitkan kerja memasukkan lidi tersebut ke dalam tin. Setelah bertungkus lumus mengerah keringat, akhirnya kumpulan 2 dinobatkan sebagai juara.
Acara seterusnya pula ialah laskar setia. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan besar. Dalam permainan ini, anak-anak buah perlu berusaha menyelamatkan raja mereka daripada serangan musuh. Serangan yang dimaksudkan ialah serangan menggunakan belon yang berisi air. Raja yang terkena serangan akan mati dan seluruh pasukan itu akan kalah. Tugas menjadi raja bukan sahaja menyelamatkan diri namun, dia harus memecahkan belon yang diikat di atas pokok. Perlawanan antara kedua-dua belah pihak memang sengit, namun tiada siapa yang menang. Keputusan akhir ialah seri. Walaupun seri, namun semangat berpasukan yang ditonjolkan wajar dibanggakan.
Manakala, acara battle royal pula ialah acara menyediakan hidangan BBQ ayam dan pencuci mulut yang paling kreatif. Setiap kumpulan diberikan tiga ekor ayam dan diberi kebebasan untuk menggunakan ‘secret recipe’ masing-masing. Inilah masanya untuk para peserta mempamerkan bakat memasak. Memang agak sukar untuk menilai masakan dan kreativiti para peserta. Beberapa juri telah ditugaskan untuk merasa dan menilai masakan. Kumpulan 1 yang terdiri daripada senior-senior 6th year memenangi pertandingan. Memang keputusan juri tidak boleh disangkal lagi dan tepat kerana memang benar senior-senior sudah pastinya akan menyediakan masakan terbaik kerana mereka sudah pakar dalam menyediakan
Setiap yang bermula sudah pasti mempunyai kesudahannya. Sebelum program berakhir, para peserta bekerjasama membersihkan dan mengemas barang masing-masing. Majlis penyampaian hadiah menyusul selepas itu. Hadiah berupa hamper menjadi pilihan. Majlis disempurnakan oleh urusetia-urusetia. Sebelum berangkat pulang, gambar peserta-peserta diambil sebagai kenangan dan bukti berlangsungnya Hari Keluarga bagi sesi 2009. Walaupun letih, namun, kenangan dan pengalaman yang dicipta melenyapkan segala kepahitan. Kenangan beramah mesra dengan ahli kumpulan yang terdiri daripada pelbagai usia, pengalaman bekerjasama untuk memenangi pertandingan dan sebagainya memang sukar untuk dilupakan. Kalah dan menang memang adat pertandingan. Namun apa yang penting di sini ialah semangat kerjasama antara ahli kumpulan.
Akhir kata, sekali lagi diucapkan tahniah kepada semua yang menjayakan program ini termasuklah urusetia-urusetia yang juga merupakan juri-juri pertandingan. Semoga program yang bermanfaat seperti kali ini tidak lenyap ditelan zaman.
Rabu, 13 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
uit ina..karangan ape neh..hehe nway its a good hang out.. jeles la..kt cni mane ad camtu ~~
BalasPadam