Selasa, 13 Januari 2009

Ini Peranan Kita (IPK)!!!~~~

Pada tanggal 29 November 2008 yang lalu,dalam kedinginan malam, sekumpulan senior yang amat prihatin terhadap perkembangan agama Islam telah mengadakan satu program khas untuk pelajar- pelajar perempuan NNSMA. Program tersebut dinamakan IPK. Tahukah anda apa itu IPK? IPK adalah singkatan bagi Ini Peranan Kita. Program ini adalah berturutan daripada program ISK (Ini Sejarah Kita) yang telah diadakan baru-baru ini. Walaupun penerangannya agak ringkas, namun padat dengan informasi-informasi berguna yang mampu memenuhi kekosongan jiwa para remaja.

Objektif utama program ini adalah untuk menyedarkan kita tentang peranan kita dalam membantu menegakkan agama Allah yang kian jatuh disebabkan oleh kelalaian umat Islam sekarang. Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya ibarat logam yang mempunyai pelbagai keistimewaan seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam hadis logam. “Manusia ibarat logam, terpilihnya mereka semasa zaman jahiliyyah, terpilihnya mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham.”

Berdasarkan graf ISK, Islam bermula dari bawah, bermula dengan dakwah ketika di Makkah dan Madinah, daulah semasa zaman Khulafak ar-Rashidin dan Umayyah, tamadun semasa Abbasiyyah dan selainnya. Ini menunjukkan bahawa formula untuk menegakkan kembali Islam yang sedang jatuh bermula daripada dakwah (seperti dakwah di Makkah dan Madinah). Oleh itu, kita sebagai umat Islam sewajarnya berdakwah sekurang-kurangnya kepada diri sendiri sebelum kepada orang lain. “ hendaklah kamu nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran.” (al-Asr,103:3) Sebagai seorang pelajar memang menjadi tugas kita untuk belajar tetapi dalam masa yang sama kita sewajarnya berdakwah. Apa pilihan anda? study>dakwah, study=dakwah, study
Ingatkah anda mengenai teori bilik terbakar? Sekiranya anda sedang belajar di dalam bilik dan secara tiba-tiba bilik itu terbakar. Adakah anda akan terus belajar atau meyelamatkan nyawa terlebih dahulu? Mestilah anda menyelamatkan nyawa kerana nyawa lebih penting. Adalah tidak normal sekiranya anda terus belajar dalam keadaan seperti itu. Begitu juga dengan hidup ini, kita wajib mengutamakan agama dalam melakukan sesuatu. Tanpa agama hidup tidak akan bermakna.

Tahukah anda mengenai teori putih telur dan kuning telur? Kuning telur disimbolkan sebagai matlamat hidup kita manakala putih telur sebagai alat dan cara untuk mencapai matlamat. Kita haruslah berusaha membesarkan kuning telur kita dan ilmu (putih telur) sebagai alat untuk membesarkannya. Kuning telur juga boleh dilambangkan sebagai iman atau akidah kita. Teori ini amat berkait rapat dalam kehidupan kita.

Selain itu, melalui program itu juga menegaskan betapa pentingnya sistem khalifah dalam kehidupan kita. Tanpa sistem ini, hidup kita bagai layang- layang terputus talinya. Berdasarkan sejarah, Islam pada zaman Turki Uthmaniyyah jatuh kerana terdapatnya seorang pengkhianat dalam Islam, Mustafa Kamal Attartuk yang telah memansuhkan sistem Khalifah. Mustafa sendiri yang telah menghancurkan agamanya. Apa gunanya jikalau hanya Islam pada nama sahaja tetapi hati tetap kufur. Ini bukan sahaja menjatuhkan Islam, bahkan nama Islam juga jatuh dengan adanya orang seperti Mustafa. Adakah kita juga ingin menjadi musuh dalam selimut? Tepuk dada tanyalah iman. Kembalikanlah kegemilangan Islam dengan melahirkan semula tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, Umar Abdul Aziz, Khalifah al-Makmun, Sultan Muhammad Al-Fateh dan lain-lain. Mereka ialah bintang- bintang dalam Islam. Siapakah yang bakal menggantikan mereka kalau bukan ANDA?

Program ini juga ada menyelitkan sedikit mengenai tangga marotib amal. Tangga ini bermula dari Fardhu Muslim dan berakhir dengan Ustaziyatul Alam.
Fardhu Muslim, Baitul Muslim, Mujtama’ Muslim, Daulah Islam, Kerajaan Islam, Empayar Islam, Ustaziyatul Alam.

Tangga ini menjelaskan tentang pentingnya umat islam mengamalkan Fardhu Muslim. Ini merupakan langkah pertama dalam mengembangkan agama Islam. Oleh itu, sekiranya terdapat rakan-rakan kita yang meninggalkan Fardhu Muslim, ingat-ingatkanlah mereka. Mungkin mereka terlupa kerana manusia memang bersifat pelupa. Saling mengingati antara satu sama lain dapat mengelakkan kita daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

Persoalannya, mahukah anda hanya melihat sahaja Islam bangkit semula atau turut membantu dalam membangkitkan Islam? Atau anda hanya mahu berpeluk tubuh dan mengharapkan umat Islam lain menegakkan syiar Islam tanpa sebarang usaha daripada anda? Sebaik-baiknya, mainkanlah peranan masing-masing. Insya-Allah. Islam pasti akan bangkit semula. Percayalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan